Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Tiada perbincangan mengenai isu pelantikan Yang di-Pertuan Agong baharu dalam agenda pertemuan Perdana Menteri dengan Sultan Johor esok, kata sumber.

Jurucakap Pejabat Perdana Menteri menjelaskan pertemuan di antara Dr Mahathir Mohamad dengan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu hanya melibatkan perbincangan biasa.

Ditanya sama ada terdapat agenda khusus yang akan dibincangkan pada pertemuan itu, jurucakap itu memberitahu ia tidak pasti.

“Ia adalah kunjungan hormat Perdana Menteri yang diminta oleh Sultan Ibrahim beberapa minggu lalu.

“Setakat yang saya tahu tidak ada agenda mengenai (isu) pelantikan Agong,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Pertemuan yang akan berlangsung di Istana Bukit Serene di Johor Bahru selepas Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Agong pada Ahad lalu.

Tindakan baginda mencetuskan perbincangan dalam kalangan orang ramai mengenai tokoh yang akan dilantik bertakhta di Istana Negara selepas ini.

Sultan Ibrahim adalah antara nama yang disebut mungkin dilantik oleh Majlis Raja-raja menggantikan Sultan Muhammad V, selain beberapa nama lagi, termasuk Sultan Ahmad Shah dari Pahang.

Bagaimanapun Sultan Ahmad yang pernah menjadi Agong ketujuh kini dalam keadaan gering.

Terdapat juga spekulasi bahawa Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan ditabalkan sebagai Sultan Pahang dalam masa terdekat bagi membolehkan baginda diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-raja akan bersidang pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong baru.

Sultan Muhammad ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Disember 2016 dan tempoh perkhidmatan baginda sepatutnya tamat pada 2021. – MalaysiaGazette