Semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini diminta mengadakan solat hajat bagi mendoakan agar anggota mereka, Wan Mohd Arif Wan Yahya, yang dikhuatiri lemas dan hilang di Sungai Paka dekat Kampung Durian Mentangau, Dungun, Jumaat lepas ditemui.

YAN – Suspek kes tetak dan kelar dua beradik hingga maut di Kampung Tengah, Kuala Sungai Yan, di sini malam tadi, dipercayai mengalami masalah mental.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata, bagaimanapun pihaknya masih menyiasat motif sebenar lelaki berusia 49 tahun itu bertindak kejam terhadap dua kanak-kanak terbabit.

Katanya siasatan awal polis mendapati suspek merupakan kenalan kepada bapa dua kanak-kanak berkenaan dan tinggal tidak jauh dari rumah mangsa.

“Menurut saksi di tempat kejadian, suspek ada memanggil nama tuan rumah iaitu bapa kepada dua beradik ini,” katanya, menambah polis merampas dua bilah parang yang masing-masing ditemui di tepi jalan raya dan rumah suspek.

Menurutnya, siasatan awal polis juga mendapati suspek yang tidak bekerja dan dipercayai tinggal bersendirian setelah berpisah dengan isterinya kira-kira dua tahun lalu turut mempunyai beberapa rekod lampau bersabit dadah.

Dalam kejadian 11.45 malam itu, Nurul Hanim Idris, 5 dan adiknya Mohammad Hafiz, setahun maut di tempat kejadian selepas ditetak dan dikelar ketika tidur di dalam sebuah di tingkat bawar rumah mereka.

Bapa saudara mereka, Sobri Saad, 52, yang berada di rumah ketika itu turut cedera di pipi kiri akibat dilibas dengan parang oleh suspek.

Terdahulu, Mior Faridalathrash dilaporkan berkata suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, tinjauan media di lokasi mendapati jarak di antara rumah mangsa dan suspek adalah lebih kurang 300 meter. – MalaysiaGazette