PASIR MAS – Dua beradik hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membunuh seorang pencuci kereta di Kampung Simpang Empat Tok Darat di sini pada Ogos tahun lepas
Tertuduh, Mohd Farizzuan Ismail, 24, dan abangnya Noor Azlan, 32, mengaku faham pertuduhan namun tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazri Ismail.
Mengikut pertuduhan kedua-duanya bersama seorang yang telah meninggal dunia dan seorang lagi yang masih bebas pada 18 Ogos 2018, antara pukul 12 tengah hari hingga 1 petang di hadapan sebuah kedai cuci kereta di kampung berkenaan dengan niat bersama melakukan pembunuhan terhadap Mohamad Ghadafi Amir Zamri, 29.
Tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Hakim kemudiannya menetapkan 10 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Kes berkenaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
— BERNAMA
















