KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada Khamis mendedahkan terdapat masjid di negeri ini mempunyai simpanan tabung hasil sumbangan orang ramai mencecah hampir RM1 juta, namun tidak dibelanjakan untuk pembangunan masyarakat Islam.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Osman Muda berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan dan mempunyai rekod mengenai masjid terbabit untuk diambil tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihak pengurusan masjid sepatutnya menggunakan wang tersebut secara efisien khususnya dalam membantu masyarakat setempat.

“Pengurusan masjid perlu lebih proaktif dalam menguruskan wang tabung untuk tujuan pemerkasaan masyarakat Islam di tempat masing-masing.

“Pastikan masyarakat setempat mendapat manfaat daripada wang yang didermakan kerana itulah tujuan sebenar derma diberikan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Multaqa Amil Zakat Negeri Terengganu 2019 di sini, pada Khamis.

Osman, bagaimanapun tidak menyatakan bilangan masjid terbabit dan jumlah keseluruhan tabung yang tidak dibelanjakan.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah kutipan zakat bagi 2018 ialah sebanyak RM160 juta berbanding RM137 juta pada tahun sebelumnya.

Jumlah zakat tertinggi tahun lalu disumbangkan adalah zakat pendapatan berjumlah RM78 juta diikuti zakat perniagaan (RM41 juta), zakat harta (RM25 juta), zakat fitrah (RM6 juta) dan lain-lain (RM10 juta).

“Setiap tahun, kami menerima lebih 40,000 permohonan untuk mendapatkan pelbagai jenis bantuan seperti bantuan sara hidup, bulanan, pelajaran dan sebagainya. Bagaimanapun proses pemutihan akan dijalankan bagi memastikan mereka yang benar-benar layak memperoleh bantuan berkenaan,” katanya. – Bernama