Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) memerlukan jentera-jentera ajaib di Cameron Highlands bagi memastikan calon DAP, M. Manogaran menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan pada 26 Januari ini.

Gabungan pakatan itu kalah pada kerusi itu semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Pada 9 Mei lalu,  pemimpin MIC, Datuk C Sivarraajh menang dalam pertembungan 5 penjuru termasuk menewaskan Manogaran.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan, PRK Cameron Highlands sebagai perjuangan pembukaan Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Pakatan Harapan untuk memenangi Kerajaan Negeri Pahang, sekali gus membolehkan masalah tanah lama Orang Asli dapat diselesaikan

Malah, katanya, PRK itu juga merupakan bukan sahaja satu pertarungan dengan individu atau pakatan gabungan politik tetapi yang lebih penting ia adalah perjuangan antara masa depan dan masa lampau Malaysia.

“Sebab itu mengapa Pakatan Harapan memerlukan jentera-jentera ajaib di Cameron Highlands pada dua minggu akan datang memandangkan mereka perlu melakukan keajaiban yang lebih besar daripada keajaiban 9 Mei 2018!,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Manogaran akan berdepan dengan calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor.

Ramli adalah bekas Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Bekas pegawai polis itu berasal dari suku Semai, yang membentuk sebahagian besar daripada 22 peratus pengundi Orang Asli di kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Bagaimanapun, Kit Siang menyifatkan pemilihan Ramli menyedihkan dan paling malang kerana ia tidak dibuat semasa UMNO masih memiliki kuasa.

Dengan itu, membolehkan Ramli dilantik sebagai Timbalan Menteri, mahupun Menteri penuh, sekali gus dapat mengakhiri pengabaian masyarakat Orang Asli dan membawa mereka kepada arus perdana pembangunan negara.

Kit Siang mendakwa masyarakat Orang Asli masih lagi dibelenggu dengan masalah kemiskinan, diabai dan dipinggirkan sejak enam dekad lalu.

Buktinya, dakwa beliau, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) masih dibelenggu dengan masalah kemiskinan, kemunduran, pengabaian dan peminggiran Orang Asli.

Malah, di Jakoa, kata Kit Siang, hanya seorang Orang Asli dilantik menjadi Ketua Pengarah JAKOA selama lapan bulan lalu manakala kurang dari 22 peratus kakitangan Jakoa adalah daripada masyarakat Orang Asli.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga berkata, UMNO yang dahulu kleptokrasi yang kini berada pada ‘penghujung’ terpaksa bergantung kepada musuh yang paling utamanya, Pas, untuk sokongan hayat. – MalaysiaGazette