SPRM buka bilik gerakan sepanjang PRK DUN Semenyih
Gambar hiasan

KUANTAN – Empat pegawai kanan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) termasuk seorang pegawai pengurusan tertinggi ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa dan rasuah melibatkan projek bernilai RM23 juta.

Turut ditahan reman tiga kontraktor yang dipercayai memonopoli projek-projek yang ditawarkan oleh perbadanan itu dengan memperolehinya secara rundingan terus tanpa melalui proses sebut harga.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Kuantan Humaira KM Haider setelah mendengar permohonan daripada Penguasa SPRM, Muhammed Fiqrun Md Talip.

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 atas kesalahan meminta dan memberi rasuah.

Ketujuh-tujuh mereka yang berumur 30-60 tahun sebelum itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan pada pukul 9.20 pagi dengan memakai pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tangan bergari.

Pegawai pengurusan tertinggi yang bergelar Datuk itu diwakili oleh peguam Datuk Syed Aziman Amir Syed Abu Bakar, manakala yang lain tidak diwakili peguam.

Semalam SPRM menahan pegawai tertinggi Paip dan tiga pegawai kanannya bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek bernilai RM23 juta dalam satu operasi yang dikenali sebagai ‘Ops Cuci’.

Keempat pegawai kanan berkenaan disyaki bersekongkol dengan beberapa pemilik syarikat untuk memonopoli projek pembekalan air di Pahang yang dipercayai berlaku sejak 2014 lagi.

Laporan Ketua Audit Negara 2017 yang dikeluarkan sebelum ini menyatakan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) kerugian tiga tahun berturut-turut iaitu RM114.55 juta sehingga tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2015, RM108.22 juta (31 Mac 2016) dan 103 juta (31 Mac 2017).

Hal itu terus berlaku disebabkan pengurusan bekalan air diuruskan dengan kurang cekap, pengurusan tadbir urus PAIP juga disifatkan kurang cekap dan kurang memuaskan. – MalaysiaGazette