Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memeluk isterinya Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang kelihatan sebak sambil diperhatikan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (dua kiri) dan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah Sultan Ahmad Shah (kiri) selepas Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang di Hotel Pullman Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – “Terima kasih semua. Saya tiada komen.”

Demikian titah ringkas Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang di Hotel Pullman Kual Lumpur di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Tengku Abdullah turut memaklumkan satu kenyataan akan dikeluarkan sambil baginda beredar pulang.

Dalam pada itu, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mencuri perhatian pihak media kerana baginda dilihat sebak dan mengalirkan airmata sambil berpelukan bersama kaum kerabat diraja yang lain.

MGF11012019_SetiausahaKerajaanPahangBaharu_18
Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kelihatan sebak selepas Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang di Hotel Pullman Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 JANUARI 2019

Mesyuarat yang bermula pukul 4 dan tamat pukul 7.30 petang itu turut melibatkan kerabat diraja Pahang dan Orang-Orang Besar Berempat, Berlapan serta 16 negeri.

Sementara itu, Setiausah Kerajaan Negeri Pahang yang baharu, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memberitahu satu pengumuman akan dibuat di Istana Abu Bakar, Pekan pukul 3 petang esok berkaitan keputusan mesyuarat pada hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Tengku Abdullah bakal ditabal sebagai Sultan Pahang bagi menggantikan ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah yang sedang gering.

Khabar angin juga menga­takan Tengku Abdullah bakal dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 sejurus ditabal sebagai sultan.

Sumber istana memak­lum­­­kan, mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri hari ini akan turut membincangkan agenda pertabalan itu.

Berdasarkan kepada Perkara Sembilan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, spe­kulasi yang bertiup kencang itu hanya menjadi kenyataan jika Sultan Ahmad Shah turun takhta atas keredaan hati ba­ginda serta perlu menandatangani Surat Perintah.

Surat Perintah berkenaan itu pula hendaklah disaksikan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Pahang yang kedua-duanya hendaklah hadir bersama-sama pada masa Raja Pemerintah menurunkan tandatangan pada Surat Perintah itu.

Perkara Sembilan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang turut menerangkan sekiranya Raja Pemerintah tidak bersemayam dalam negeri ketika turun takhta, perintah mengesahkan turun takhta itu hendaklah dibuat dengan Surat Perintah dan diletak cap Mohor Negeri yang ditandatangani Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Pahang. – MalaysiaGazette