Rakan sebaya tidak seharusnya hanya dilihat sebagai kelompok yang perlu dilindungi tetapi perlu menjadi sebahagian daripada sistem perlindungan itu sendiri. - Gambar hiasan.

BERITA kematian seorang pelajar berusia 14 tahun di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah amat mendukacitakan.

Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril dan mendoakan agar seluruh keluarga diberikan kekuatan menghadapi kehilangan ini.

Kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa. Justeru, kita tidak seharusnya mendahului hasil siasatan atau membuat kesimpulan terhadap perkara yang belum disahkan.

Namun kejadian ini perlu membuka perbincangan yang lebih serius mengenai keselamatan, budaya rakan sebaya dan pembentukan karakter dalam ekosistem remaja.

Isu buli tidak boleh dilihat semata-mata sebagai masalah disiplin individu.

Apabila kekerasan menjadi ukuran kekuatan, senioriti diterjemahkan sebagai kuasa dan rakan sebaya memilih untuk berdiam diri kerana takut, kita sedang berhadapan dengan masalah budaya dan ekosistem.

Sebab itu, tindakan selepas kejadian sahaja tidak mencukupi. Penguatkuasaan dan hukuman perlu berjalan seiring dengan pencegahan, pengesanan awal, saluran pelaporan yang dipercayai serta pembentukan budaya rakan sebaya yang saling melindungi.

Rakan sebaya juga tidak seharusnya hanya dilihat sebagai kelompok yang perlu dilindungi. Mereka perlu dibangunkan sebagai sebahagian daripada sistem perlindungan itu sendiri.

Bagi Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM), perkara ini berkait dengan persoalan lebih besar iaitu apakah generasi remaja yang mahu kita lahirkan?

Lima ciri yang kami tekankan:

1. Berakhlak
2. Berilmu
3. Berkepimpinan
4. Lasak
5. Peduli

Remaja yang lasak bukan remaja yang menggunakan kekuatan untuk menundukkan orang lain.

Remaja yang berkepimpinan bukan remaja yang menggunakan kedudukan untuk menguasai.

Remaja yang peduli pula tidak membiarkan rakannya menghadapi ancaman seorang diri.

Ukuran sebenar kekuatan seorang remaja bukan berapa ramai yang takut kepadanya, tetapi berapa ramai yang berasa selamat apabila berada bersamanya.

Justeru, pendekatan menangani buli perlu bergerak daripada sekadar reaktif kepada preventif — bukan hanya bertindak terhadap pelaku selepas kejadian, tetapi membina ekosistem yang mampu mencegahnya lebih awal.

Dan bagi kami di KRIM, tanggungjawab kami jelas: membina generasi remaja yang bukan sahaja mampu menjaga diri, tetapi mempunyai karakter, keberanian dan kepedulian untuk menjaga orang lain.

Kita tidak boleh menunggu seorang lagi remaja pergi sebelum ekosistem di sekeliling mereka berubah.

Mohammad Riduan Muhammad

Penulis adalah Pengerusi Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here