Mohd Farid Mohd Nor
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Nor bercakap kepada media selepas membuat laporan SPRM susulan penularan gambar seorang wanita berbaju Pakatan Harapan (PH) mengagihkan wang kepada komuniti Orang Asli di CH Merlin Hotel, Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2019

CAMERON HIGHLANDS – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mengugurkan calon Pakatan Harapan (PH), M.Manogaran daripada bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands susulan penularan gambar jenteranya mengagihkan wang di media sosial sejak semalam.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd.Farid Mohd Nor menegaskan, jika calonnya sebelum ini, Datuk C.Sivarraajh dibatalkan kemenangan hanya kerana membuat kenduri, apatah lagi tindakan PH mengagihkan wang semasa kempen.

“Kita nak ingatkan kepada mereka pilihan raya kecil ini sebenarnya tidak perlu, ianya terjadi disebabkan mereka mendakwa calon kita dulu,  Sivarrajh telah melakukan kesalahan kerana buat kenduri untuk mendapatkan sokongan.

“Perkara ini tidak sepatutnya dilakukan oleh PH kerana mereka sendiri membuat petisyen untuk membatalkan kemenangan Datuk Sivaraj sebelum ini.

“Kita tuntut supaya tindakan diambil ke atas calon PH, kalau boleh batalkan daripada masuk pilihan raya ini,”katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan salah laku rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di CH Merlin Hotel, Tanah Rata hari ini.

Mohd Farid Mohd Nor
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Nor bercakap kepada media selepas membuat laporan SPRM susulan penularan gambar seorang wanita berbaju Pakatan Harapan (PH) mengagihkan wang kepada komuniti Orang Asli di CH Merlin Hotel, Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2019

Semalam, gambar seorang wanita berbaju PH mengagihkan wang kepada beberapa individu menjadi tular di laman media sosial.

Gambar tersebut yang tular itu memaparkan seolah-olah jentera kempen PH Cameron Highlands sedang mengagihkan wang kepada beberapa individu memakai baju PH dipercayai komuniti orang asli di sebuah hotel, di Tanah Rata.

Tinjauan MalaysiaGazette selepas proses penamaan calon di Persiaran Dayang Endah semalam turut mendapati sekumpulan lebih 100 orang asli berjalan kaki menuju ke sebuah hotel di Tanah Rata.

Lebih mencurigakan apabila lebih lima buah bas diletakkan di luar hotel terbabit dan dipercayai untuk membawa komuniti orang asli ke pusat penamaan calon PRK Cameron Highlands di Sekolah Menegah Kebangsaaan Sultan Ahmad Shah, semalam.

Mohd Farid juga menyindir calon PH yang menandatangani ikrar untuk memastikan pilihan raya ini dalam keadaan bersih namun terpalit dengan kesalahan menarik sokongan melalui pemberian wang.

“Mereka sepatutnya menunjukkan contoh dan teladan lebih baik sebab mereka dakwa bahawa BN melakukan perkara untuk tujuan membeli undi sebelum ini

“Lebih-lebih lagi calon tersebut telah menandatangani ikrar Bersih untuk memastikan pilihan raya kali ini dilaksanakan dalam keadaan bersih dan adil tapi berlaku sebaliknya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast