Tun Abdul Hamid
Tun Abdul Hamid Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad memohon maaf kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atas kesilapan fakta dalam tulisannya mengenai peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan peralihan kerajaan baharu.

Katanya, kesilapan ketara beliau dalam tulisannya ialah mendakwa Mahathir telah pergi ke Istana Negara tanpa diundang pada malam 9 Mei 2018 untuk meminta YDPA mengangkat sumpahnya sebagai Perdana Menteri.

“Saya merujuk kenyataan Jabatan Perdana Menteri yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada 11 Januari 2019 yang menyatakan kesilapan fakta oleh saya dalam rencana saya bertajuk “Peletakan Jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Selepasnya” yang saya naikmuatkan dalam laman-laman web saya pada 9 Januari 2019.

“Kesilapan itu adalah mengenai kenyataan saya bahawa Mahathir telah pergi ke Istana Negara tanpa diundang pada malam 9 Mei 2018 untuk meminta YDPA mengangkat sumpahnya sebagai Perdana Menteri.

“Saya terima kenyataan itu sepenuhnya. Saya akui bahawa saya telah membuat kesilapan fakta dan juga komen yang berbangkit daripada kesilapan fakta itu dalam penulisan rencana itu,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Abdul Hamid mengakui kesilapan itu disebabkan oleh kecuaiannya sendiri dan tidak mengemukakan apa-apa alasan di atas kesilapan itu.

“Saya bertanggungjawab sepenuhnya,” tegas beliau.

Beliau dengan rendah diri dan dengan penuh penyesalan memohon maaf kepada Mahathir di atas kesilapan itu dan apa-apa persepsi negatif terhadapnya yang disebabkan oleh kesilapan dan komen itu.

“Saya juga mengangkat sembah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda YDPA memohon maaf kiranya terdapat apa-apa kesilapan fakta yang melibatkan baginda dalam rencana itu walaupun setakat ini, belum ada sesiapa yang menunjuknya.

“Saya juga memohon maaf kepada semua pihak yang telah menyiarkan rencana itu dan kepada semua pembaca di atas kesilapan dan kecuaian saya itu.

“Saya telah pun membuat pindaan yang perlu kepada rencana itu. Saya meminta semua pihak yang telah menyiarkannya secara online supaya turut menarik balik rencana asal itu dan jika mahu, menyiarkan rencana yang telah dipinda ini sebagai ganti,” katanya. – MalaysiaGazette