Polis memeriksa kawasan di tempat parkir kenderaan flat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Jalan Sungai Pinang selepas seorang kontraktor ditembak sehingga mati malam tadi. foto Bernama

GEORGETOWN – Seorang kontraktor pembinaan maut ditembak lelaki tidak dikenali ketika mangsa sedang berbual dengan rakan-rakannya dalam kejadian di tempat parkir kenderaan flat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Jalan Sungai Pinang, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, Mohammad Nazrulhisyam Mohamed Meera, 27, sedang berbual dengan enam rakannya di kawasan parkir berkenaan sebelum sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC yang dinaiki dua lelaki berhenti berdekatan mereka.

“Pembonceng belakang turun dari motosikal tersebut dan melepaskan tembakan ke arah mangsa serta terkena bahagian kepala dan badan.

“Akibat tembakan itu, mangsa rebah dan terbaring atas lantai namun suspek masih melepaskan beberapa tembakan ke arah mangsa sebelum dua lelaki berkenaan melarikan diri dengan motosikal mereka, ” katanya di sini hari ini.

Katanya, rakan-rakan mangsa bertindak menghubungi polis selepas kejadian itu dan semasa suspek melepaskan tembakan pertama, mereka telah lari menyelamatkan diri kerana bimbang turut ditembak.

Che Zaimani berkata. mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang dengan ambulans dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira 12.48 tengah malam berikutan kecederaan parah akibat tembakan.

Katanya, menurut saksi di tempat kejadian, suspek yang memakai pakaian serba hitam dan memakai helmet warna hitam dengan visor penuh, melepaskan sekurang-kurangnya lima das tembakan ke arah mangsa.

“Jarak antara lelaki yang melepaskan tembakan semasa menembak mangsa adalah lebih kurang tiga meter dan pemeriksaan doktor mendapati terdapat lima kesan tembakan di badan mangsa,” katanya lelaki ditembak itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah.

Katanya motif kejadian masih dalam siasatan dan polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu agar tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, polis kini sedang memburu dua lelaki yang terlibat dalam kejadian tembakan itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette