TANAH RATA – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengakui bahawa kehadiran beliau ke Cameron Highlands bukan atas kapasiti sebagai Menteri Kabinet untuk berkempen bagi calon Pakatan Harapan (PH), M.Manogaran.
Sebaliknya, kunjungan beliau hari ini atas platform politik semata-mata selaku Ketua Pemuda PH dan bukannya Menteri Belia dan Sukan.
“Saya datang ke sini sebagai anak muda dan atas kapasiti Ketua Pemuda PH untuk program pada malam ini. Sebab itu jentera kerajaan saya tinggalkan di belakang, guna kenderaan sendiri.
“Saya nak pastikan kita tak menyalahgunakan jentera kerajaan untuk kepentingan politik,” katanya pada sidang media di Kelab Golf Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Sejak hari pertama kempen PRK Cameron Highlands, Ahad lalu, beberapa perlanggaran Akta Pilihan Raya didakwa dilakukan oleh beberapa pemimpin Kerajaan Persekutuan.
Ia susulan penganjuran pelbagai program kerajaan di Cameron Highlands sepanjang tempoh kempen ini hingga mengundang cemuhan dan tuduhan salah guna jentera kerajaan bagi membantu calon PH, M.Manogaran. – MalaysiaGazette
















