Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat sebanyak 1.9 peratus pada November kepada 52,174 tan metrik berbanding 51,209 tan metrik pada Oktober.

Bagaimanapun, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran menurun 11.1 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, harga purata lateks pekat yang direkodkan ialah 380.63 sen sekilogram manakala harga purata Getah Mutu Malaysia 20 (GMM. 20) ialah 509.35 sen sekilogram, masing-masing jatuh sebanyak 5.2 peratus dan 6.2 peratus berbanding dengan harga purata pada Oktober 2018.

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 52,943 tan metrik, pengurangan 2.3 peratus berbanding Oktober 2018.

Katanya, eksport utama getah Malaysia ialah ke China, 56.9 peratus daripada jumlah eksport pada November.

Ini diikuti Jerman (11.9 peratus), Finland (4.6 peratus), Iran (3.0 peratus) dan Korea (3.0 peratus).

Penggunaan domestik getah asli pada November 2018 ialah 42,834 tan metrik berbanding 44,771 tan metrik pada Oktober 2018, pengurangan sebanyak 4.3 peratus.

Industri sarung tangan getah sebagai pengguna utama menggunakan sebanyak 76.4 peratus (32,744 tan metrik) daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik getah asli.

Stok getah asli berjumlah 169,920 tan metrik, naik sebanyak 2.6 peratus berbanding 165,550 tan metrik pada akhir Oktober 2018. – MalaysiaGazette