Menurut Art Harun, gambar yang tular itu adalah pertemuan kali keempat beliau dengan Tun Dr Mahathir.
Menurut Art Harun, gambar yang tular itu adalah pertemuan kali keempat beliau dengan Tun Dr Mahathir.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menafikan dakwaan beliau antara jentera kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei lalu.

Katanya, beliau yang bekerja sebagai peguam pernah menjadi peguam bela kepada Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam petisyen PRU11 tahun 2004.

“Tahun 2004, Allahyarham Jamaluddin ialah anak guam saya mengenai pilihan raya.

“Dalam petisyen pilihan raya tahun itu, saya peguam untuk calon-calon Barisan Nasional (BN),” katanya menerusi hantaran balas dalam akaun Twitternya hari ini.

Beliau menjawab laman Twitter penama @azmyklanajaya yang menularkan gambar Azhar Azizan atau lebih dikenali dengan panggilan Art Harun bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam hantaran itu, @azmiklanajaya menulis, “katanya ni gambar sebelum dilantik jadi Pengerusi SPR. Sekarang dah jadi Pengerusi SPR dan katanya dia antara jentera kempen PH masa PRU14. Kalau salah saya minta maaflah”.

Warganet itu turut menyiarkan tiga keping gambar Art Harun makan satu meja dengan Dr Mahathir dalam satu majlis yang tidak dicatatkan tarikh dan lokasi.

Art Harun kemudian membalas dakwaan itu dengan menyatakan, “Ini gambar kali keempat saya jumpa Tun (Dr. Mahathir). Saya kenalkan diri saya dan Tun tanya saya dari mana.

“Saya juga ada gambar dengan YB Khairy Jamaluddin dan pernah nasihat calon BN mengenai pilihan raya,” tulis beliau. – MalaysiaGazette