Pemanasan global menyebabkan bongkah-bongkah ais di Antartika cepat cair. foto Agensi

OSLO – Litupan ais di Antartika mencair hampir enam kali ganda dalam tempoh 40 tahun bakal meningkatkan paras air laut dalam beberapa dekad akan datang.

Keadaan itu disebabkan pemanasan global yang berpunca daripada perbuatan manusia, kata para saintis.

Mereka berkata, bongkah ais Antartika Timur mencair di pinggir dan paras air laut yang semakin meningkat, tidak seperti banyak laporan masa lalu yang menyimpulkan bahawa setakat ini bongkah timur menghalang pencairan di sebelah barat.

Kekurangan ais dari benua beku itu melonjak kepada 252 bilion tan metrik setahun dalam tempoh 2009-2017 dari purata 40 bilion tan dari tahun 1979-90, menurut kajian di US Journal of Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS) .

Secara keseluruhannya, para saintis mengatakan bahawa leburan Antartika menambah air bersamaan dengan 13.2 milimeter (0.5 inci), peningkatan paras laut sejak empat dekad yang lalu.

“Memandangkan liputan ais Antartik berterusan cair, kami menjangkakan paras air laut akan terus meningkat dari Antartika pada abad-abad akan datang,” katanya.

Paras laut global telah meningkat kira-kira 20 sentimeter (8 inci) pada abad sebelum ini dan banyak kajian menunjukkan kecairan lebih pantas dari Greenland ke Antartika, sekali gus mengancam perairan dari Bangladesh ke Florida dan bandar-bandar dari London ke Shanghai.

Kajian PNAS mengunjurkan Antartika kehilangan 169 bilion tan ais dari tahun 1992 hingga 2017, melebihi 109 bilion tan pada tempoh masa sama tahun lalu daripada kajian kumpulan antarabangsa yang lain.

Jurang itu berlaku kerana kajian PNAS mengunjurkan kehilangan ais di timur Antartika adalah 57 bilion tan sepanjang tempoh itu berbanding 5 bilion tan yang diperoleh dalam unjuran tahun lalu.

Pengarang bersama Michiel van den Broeke, seorang profesor Meteorologi Polar di Universiti Utrecht berkata, pencairan Wilkes Land di Antartika Timur merupakan kawasan sains yang baru muncul.

“Ia sangat penting untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku,” ujar beliau.

Antartika mengandungi ais yang mencukupi untuk menaikkan paras laut dunia sebanyak 57 meter jika ia cair, proses yang memerlukan suhujauh lebih tinggi dari sekarang dan beribu tahun. – MalaysiaGazette