Penduduk, Ruslaili Abdul Kadir, 43, diyemubual MalaysiaGazette selepas Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang Keenam di Istana Abu Bakar, Pekan Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 15 JANUARI 2019

PEKAN – Rakyat Pahang berbangga kerana memiliki seorang sultan yang muda dan berjiwa rakyat.

Malah, menerusi pelantikan Sultan Abdullah Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang hari ini ia dilihat memberi harapan kepada rakyat untuk terus hidup aman dan damai di bawah negeri yang dinaungi oleh baginda.

Rata-rata rakyat negeri itu yang ditemui MalaysiaGazette berkata, sudah tiba masanya Pahang dipacu oleh seorang sultan muda yang bertenaga dan mampu membawa kemajuan serta kemakmuran terhadap rakyat.

Seorang pekerja kilang, Ruslali Abdul Kadir, 43, berkata, beliau berbangga kerana memiliki seorang sultan yang sangat dekat dengan rakyat.

Menurutnya, pelantikan Sultan Abdullah sememangnya amat tepat ekoran paduka ayahandanya kini gering.

“Saya yakin rakyat Pahang dapat menerima sultan yang baharu ini kerana baginda sememangnya mempunyai budi pekerti yang baik terhadap rakyat.

MGF14012019_PEMASYHURAN SULTAN PAHANG25
Kamalesan Batumale,

Bagi seorang peniaga, Kumalesan Batumale, 38 pula, beliau berpendapat, keperibadian mulia yang tinggi ditunjukkan oleh Sultan Abdullah ketika mendampingi rakyat mampu menjadikan baginda sebagai seorang sultan yang akan disayangi dan disenangi.

Katanya, dia yakin baginda akan mendapat sokongan daripada rakyat khususnya orang muda ekoran sikap baginda sendiri yang sangat suka menumpukan kebajikan generasi itu.

“Penerimaan rakyat terhadap baginda sememangnya luar biasa dan saya sangat yakin baginda akan menjadi seorang sultan yang sangat disenangi,” ujarnya.

MGF14012019_PEMASYHURAN SULTAN PAHANG26
Mohd Shafiq Ahmad Shukri

Sementara itu, seorang lagi pekerja swasta, Mohd Shafiq Ahmad Shukri, 31, berkata, pelantikan Sultan Abdullah merupakan satu sejarah dalam kesultanan Pahang selepas 44 tahun lalu.

Katanya, pemasyhuran baginda sultan akan merancakkan negeri itu dalam pelbagai aspk terutamnya ekonomi dan pembangunan di Pahang.

“Hari ini satu detik bersejarah buat kami rakyat Pahang. Kami harap baginda akan dapat merancakkan lagi pembangunan dan ekonomi di negeri ini agar rakyat di sini akan sama bergerak maju seperti rakyat di negeri-negeri lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette