Datuk Seri Saifuddin Nasution. foto IQBAL BASRI, 07 JANUARI 2018
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. foto IQBAL BASRI, 07 JANUARI 2018

PUTRAJAYA – Aduan mengenai kenaikan harga makanan dan minuman mendominasi purata 4,000 aduan yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) setiap bulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata lebih 50 peratus aduan yang diterima ialah mengenai kenaikan harga makanan dan minuman di premis makanan, ‘food court’ dan restoran.

Dua lagi aduan tertinggi yang diterima ialah penipuan urusniaga dalam talian dan iklan yang mengelirukan, katanya kepada media selepas menyaksikan majlis serah nota terima tugas oleh mantan Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Jamil Salleh yang bersara pada 7 Jan kepada penggantinya Datuk Muez Abdul Aziz di kementerian itu di sini hari ini.

“Kesemua aduan diterima melalui lapan saluran termasuk aplikasi WhatsApp,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga makanan di kantin sekolah yang dilaporkan media.

Menurut Saifuddin Nasution, KPDNHEP ada menerima aduan mengenai kenaikan harga makanan yang dijual di kantin sekolah namun hanya “satu atau dua aduan sahaja”.

“Apabila menerima aduan berhubung harga makanan di kantin sekolah, KPDNHEP akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan dan jika sah aduan itu ‘legitimate’, KPDNHEP boleh syorkan langkah sewajarnya yang akan diambil,” katanya.

— BERNAMA