Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap pada sidang media khas berhubung penyelewengan projek pencerobohan tanah kerajaan Medan Imbi di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 1, Kuala Lumpur.foto AFFAN FAUZI, 16 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah, Khalid Abdul Samad menjelaskan pejabat parlimennya telah membantu keluarga pencuci kereta, S Sukumaran pada Februari tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, bantuan yang diberikan melibatkan bayaran deposit untuk membeli motosikal dengan bayaran bulanan.

Ketika itu lelaki tersebut di dalam kesusahan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap selepas terbabit dalam kemalangan.

“Ada media tanya saya Ahli Parlimen Shah Alam tidak beri bantuan ke kepada keluarga Sukumaran. Bila saya periksa dengan pejabat parlimen saya, kita sudah bantu pada Februari lalu.

“Jadi, saya harap Datuk Seri Najib Razak boleh turun lagi di Shah Alam kerana semua orang boleh dapat publisiti.

“Bila beliau datang jadi highlight dan makin ramai yang memberi bantuan keluarga Sukumaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sukumaran, 40, dan anaknya Sharmini baru-baru ini menjadi tumpuan selepas seorang pengguna laman sosial Facebook memuat naik satu mesej mengenai kedua-dua mereka yang berada di Seksyen 9 di sini, mencari pemandu yang mahu kenderaan mereka dicuci tanpa menetapkan harga.

Pada masa sama, Sukumaran sedang mengumpul wang untuk membeli buku persekolahan anak perempuannya itu.

Dua hari lalu, Najib bersama UMNO Pusat serta UMNO Shah Alam membuat lawatan membantu keluarga itu dengan menyampaikan sumbangan barangan asas termasuk beras.

Bekas Perdana Menteri itu turut berjanji menjelaskan yuran tadika anak lelaki Sukumaran sebanyak RM400 selepas kanak-kanak tidak bersekolah gara-gara bapanya tidak mampu membayar yuran itu dan memberi bantuan lain dari masa ke semasa. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/14/dihalau-kerana-duit-sewa-rumah-tak-cukup-rm20/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast