Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar hari ini menafikan beliau memberikan Kelulusan Permit (AP) bagi mengeksport pasir sungai secara rundingan terus kepada empat syarikat yang didakwa milik kroninya.
Dr. Xavier Jayakumar

SEREMBAN – Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar hari ini menafikan beliau memberikan Kelulusan Permit (AP) bagi mengeksport pasir sungai secara rundingan terus kepada empat syarikat yang didakwa milik kroninya.

Dr Xavier menegaskan laporan yang diterbitkan sebuah portal berita semalam, adalah tidak benar bahkan beliau mendakwa portal berita itu adalah dimiliki UMNO.

“Pertama sekali, laman portal berita itu adalah milik ‘cybertroopers’ UMNO dan semua maklumat yang terkandung di dalamnya adalah tidak benar sama sekali.

“Ada jawatankuasa yang telah ditubuhkan untuk meneliti permohonan-permohonan yang diterima sebelum ia dikemukakan kepada menteri, itulah prosedur yang diamalkan selama ini.

“Saya telah beri kelulusan tetapi saya tidak kenal satu pun daripada syarikat-syarikat itu. Syarikat-syarikat itu telah dicadangkan oleh jawatankuasa berkenaan dan menteri mempunyai kuasa untuk memberi kelulusan…tidak perlu dibawa ke kabinet,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan yang diterbitkan sebuah portal berita semalam yang mendakwa beliau telah meluluskan AP mengeksport pasir sungai kepada empat syarikat kroninya.

Mengulas lanjut Dr Xavier turut menafikan  penglibatan perdana menteri dan menegaskan tidak ada keperluan untuk Kabinet membincangkan perkara tersebut.

Tambahnya, bagi pengeksportan bahan seperti pasir yang tersenarai dalam Jadual Kedua Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017, lesen eksport AP perlu diperoleh terlebih dahulu daripada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan permohonan akan dipertimbangkan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Sebelum pertimbangan dan kelulusan menteri diberikan, syarikat-syarikat berkenaan perlulah terlebih dahulu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dan telah memperoleh kelulusan daripada kerajaan negeri di mana sumber pasir itu diperoleh.

“Oleh yang demikian, tidak berbangkit isu rundingan terus seperti yang dilaporkan memandangkan mana-mana syarikat boleh mengemukakan permohonan untuk mengeksport pasir sekiranya  mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau, terdapat permintaan untuk mengeksport pasir, namun beliau menasihatkan pihak yang terlibat supaya mematuhi Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan kajian hidrologi di kawasan yang akan dikorek.

“Kita juga ada persetujuan dengan Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), kalau keperluan untuk pasir dalam negara meningkat, kelulusan eksport akan dihentikan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Xavier berkata pihak kementerian memandang serius penyiaran dan  penularan dokumen-dokumen rasmi dalaman dan akan mengadakan siasatan dalaman bagi memastikan agar kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi pada masa depan.

— BERNAMA