Pengerusi Suruhan Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun (tengah) memberi watikah kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar (kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat SPR berhubung PRK DUN Semenyih di Menara SPR, Putrajaya. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 18 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak berhasrat untuk meletakkan syarat untuk calon yang akan bertanding pada pilihan raya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Perkara itu diberitahu oleh pengerusinya Azhar Azizan Harun yang menyatakan, langkah itu memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan sekiranya hendak dilaksanakan.

“Syarat supaya calon melakukan pemeriksaan kesihatan itu memerlukan pindaan Perlembagaan.

“Langkah itu tak perlu sebab perkara kematian tak boleh dijangka. Sihat pun boleh mati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman pilihan raya kecil (PRK) N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di sini hari ini.

PRK DUN Semenyih adalah pilihan raya keenam selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu.

Kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, meninggal dunia pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang, akibat serangan jantung.

Sementara itu, dalam pekembangan lain, Azhar berkata, peranan SPR sebagai penyelia, pengelola dan pihak bertanggungjawab dalam urusan pilihan raya tidak memberi kesan terhadap kekosongan jawatan ahli-ahlinya.

Katanya, keyakinan itu adalah berlandaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

“Sebenarnya mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam Jadual Kesebelas, Perkara 33(C) iaitu apa-apa badan atau suruhanjaya yang ditubuhkan di bawah undang-undang adalah tidak terkesan daripada apa-apa kekosongan yang berlaku.

“Itu peruntukan Perlembagaan bukan undang-undang biasa. Dan kita mengambil keputusan untuk mengikut Jadual Kesebelas, Perkara 33(C) tersebut,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, terdapat juga keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memutuskan bahawa SPR secara spesifik tidak terkesan dengan apa-apa kekosongan keahlian.

Beliau mengulas laporan bahawa terdapat pertikaian terhadap kelayakan SPR menentukan tarikh PRK jika suruhanjaya itu hanya diwakili seorang sahaja iaitu pengerusinya.

UMNO hari ini pula mempertikaikan kewujudan SPR kerana hanya dikendalikan oleh seorang individu ketika ini iaitu Azhar.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sedangkan jawatan lain iaitu Timbalan Pengerusi dan lima Ahli SPR masih kosong kerana pelantikan belum lagi dibuat sehingga kini.

SPR terdiri daripada tujuh ahli termasuk pengerusi, timbalan pengerusi dan lima ahli suruhanjaya.

Pelantikan mereka diperkenankan oleh Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. – MalaysiaGazette