Tommy Thomas
Tommy Thomas. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan prosiding mahkamah bagi pihak Orang Asli dalam memberikan pengiktirafan tanggungjawab perlembagaan dan perundangan untuk melindungi serta menggalakkan kesejahteraan dan kemajuan mereka.

Peguam Negara, Tommy Thomas ketika menyatakan perkara itu berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa prosiding undang-undang harus dipertimbangkan untuk mencerminkan komitmen kerajaan terhadap masyarakat Orang Asli.

Katanya, di seluruh pelosok dunia, hak asasi Orang Asli telahpun diiktiraf, diisytiharkan dan dikuatkuasakan dalam kes yang mendapat perhatian mahkamah.

“Mahkamah tertinggi di Australia, Kanada dan India telah mengiktiraf sejumlah hak-hak orang asal mereka atau First Nations. Jadi, sudah tiba masanya Malaysia turut bersama negara yang mengiktiraf dan melindungi hak-hak Orang Asli kita.

“Mereka mempunyai sejarah yang kuno lagi kaya. Sejak turun temurun, mereka telah hidup aman damai dan wujud mampan di dalam hutan Malaya.

“Masyarakat ini juga mempunyai pertalian yang kukuh dengan tanah nenek moyang mereka, yang daripadanya mereka banyak bergantung bagi tujuan menampung kehidupan, sumber ekonomi dan kebudayaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Malangnya, kata Thomas, hak asasi Orang Asli sebagai warganegara telah diabai dan dilanggari untuk sekian lamanya.

Beliau memberi contoh, penebangan hutan yang berleluasa dan pembangunan komersial telah menerobos masuk ke dalam wilayah adat Orang Asli.

Katanya, dalam kebanyakan keadaan, Orang Asli tidak dirundingi, malah langsung tidak dipertimbangkan.

“Jarang sekali mereka diberi pampasan yang adil. Mereka biasanya mengelakkan daripada memberikan tentangan atau konfrontasi secara langsung, sebaliknya berundur jauh ke dalam hutan,” katanya.

Beliau menjelaskan, mana-mana yang cuba bertahan dan mempertahankan tanah adat mereka akan berdepan dengan kuasa yang amat tidak seimbang dan dengan itu terpaksa berlawan dengan pihak yang berkuasa serta bersumber tanpa sesiapa berjuang untuk mereka.

Kerajaan Kelantan dan agensinya baru-baru ini, ujar Thomas, telah mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta dan memasuki tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan dengan Gua Musang.

“Dengan menggunakan jentera berat, mereka telah menebang dan membawa keluar kayu balak dari kawasan hutan yang luas, yang diterangi untuk dijadikan ladang durian dan pokok getah.

“Tindakan itu mengakibatkan Orang Asli Temiar dinafikan tanah adat dan sumber mereka, menyebabkan berlaku hakisan, pencemaran dan kemusnahan yang teruk terhadap sistem ekologi dan landskap Pos Simpor,” katanya.

Beliau turut dukacita dengan sikap kerajaan Kelantan tidak pun berunding dengan Orang Asli Temiar sebelum meluluskan lesen pembalakan ataupun menawarkan pampasan atas penafian hak tanah adat dan sumber keperluan Orang Asli.

Katanya, setelah meneliti kedudukan undang-undang, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan suatu tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu bagi pihak Kerajaan Persekutuan Malaysia.

Defendan ialah kerajaan Kelantan, Pengarah Tanah dan Galian Kelantan, Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan serta lima entiti swasta bagi mendapatkan pengiktirafan di sisi undang-undang akan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor dan injunksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial oleh pihak swasta.

“Benefisiari tindakan ini ialah Orang Asli. Litigasi ini tidak melibatkan sebarang tanggungan kos bagi Orang Asli.

“Walaupun kerajaan Kelantan mempunyai bidang kuasa ke atas perkara berkaitan tanah, perhutanan dan galian, namun mereka turut terikat dengan kewajipan utama dan tidak boleh diketepikan untuk melindungi dan memelihara kesejahteraan Orang Asli Temiar.

“Pembangunan komersial serta usaha mencari keuntungan hendaklah dibuat tanpa mengorbankan Orang Asli Temiar dan hak warisan mereka sebagai warganegara, atas tanah dan sumber yang secara tradisi dimiliki dan digunakan oleh mereka,” katanya. – MalaysiaGazette