Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari menafikan beliau merupakan dalang untuk menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi undi tidak percaya.
Abdul Aziz Bari
KUALA LUMPUR – Pengenalan dan penggubalan akta baharu tidak semestinya berkesan dalam menangani isu berhubung perpaduan, sensitiviti kaum dan agama dalam negara.

Pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata pengenalan akta baharu yang belum dikenalpasti itu sebaliknya dikhuatiri akan menimbulkan permasalahan lain terutama dalam aspek pelaksanaan undang-undang itu sendiri.

“Secara umum kita sudah ada akta yang cukup untuk tangani isu itu.

“Isu-isu kaum dan agama boleh ditangani dengan undang-undang serta akta sedia ada termasuklah kanun keseksaan yang juga undang-undang jenayah utama,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Menurut Abdul Aziz, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Negeri Perak, pengenalan akta baharu itu seeloknya digunakan dalam menghadapi isu lain dengan akta itu sendiri bukan bersifat menghukum tetapi bersifat mengawal.

Tambahnya, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sedia ada juga dapat membantu dalam menangani penularan maklumat palsu dan sensitif dalam menangani isu perpaduan, sensitiviti kaum dan agama.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa pada 15 Jan lepas yang mahu isu mengenai perpaduan, sensitiviti kaum dan agama yang sebelum ini dikendalikan di bawah Akta Hasutan ditangani menerusi akta baharu yang bakal digubal.

Mesyuarat Kabinet yang turut berlangsung Selasa lepas antara lain membincangkan isu berkenaan yang bertujuan memastikan undang-undang baharu nanti tidak mudah disalahguna oleh mana-mana pihak.

Tahun lepas, kerajaan turut mengumum akan memperkenalkan Akta Kebencian Agama dan Kaum bagi menyekat budaya mencaci dan memaki agama yang ada di negara ini. Namun belum ada sebarang keputusan mengenainya.

— BERNAMA