KUALA LUMPUR – Dahulu video bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali menari menjadi tular dan menerima kecaman daripada netizen.

Kali ini aksi tarian twist penggantinya, Tommy Thomas juga menjadi tular di media sosial sejak semalam.

Selain Tommy, tarian pentas sempena Opening Of The Legal Year 2019 itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan peguam kontroversi, Siti Kassim.

Bagi seorang warga net, Abdul Rahim Hilmi Zakariya berasa tidak senang dengan apa yang dilihatnya.

Menurutnya, dalam video itu, Peguam Negara dan hakim dilihat bersosial dengan ahli politik dan individu kontroversi

“Tuan-tuan, kehidupan sebagai hakim ini ada adab susilanya, ada kehormatannya, ada martabatnya, ada kerahsiaannya dan tidak boleh menonjol kehidupan sosialnya.

“Apatah lagi dengan individu dan ahli politik yang kedudukan dan parti mereka mempunyai kepentingan dalam kes undang-undang. Apa apa keputusan penghakiman akan datang, sekiranya memihak kepada parti ahli politik ini atau individu terlibat, boleh dilihat sebagai tidak adil dan memihak.

“Ingat tuan tuan, keadilan bukan hanya perlu dilaksanakan. Ianya juga mesti dilihat bahawa ia telah dilaksanakan.

Sebab itu para hakim sejak dari dahulu lagi memilih kehidupan yang tersendiri dan penuh privasi. Sehingga makan tengahari di pejabat pun tidak berteman. Ayahanda saya yang pernah mengemudi pentadbiran mahkamah-mahkamah di Terengganu dekad 90-an dahulu selalu bercerita bagaimana rakan-rakannya yang menjadi hakim mengelak untuk minum bersama di ruang awam atau bertegur sapa berlebihan apabila terserempak di jalanan,” kata Abdul Rahim.

Semuanya itu, katanya, demi menjaga integriti dan kesucian institusi kehakiman.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam juga mempertikaikan mereka ‘beronggeng’ atas pentas bersama penuh kegirangan.

“Jogetlah dulu, kes Adib tak sepenting malam muda mudi ini kan? Kenap tak ajak atuk sekali baru lengkap makna “Law of The Jungle itu?” sindirnya.- MalaysiaGazette