KUALA LUMPUR – Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) nampak menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

Malah ada penyokong Pakatan Harapan (PH) sendiri turut mempersoalkannya.

Dalam tweetnya kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, seorang netizen yang dikenali Mapie berkata;

“Salam reformasi saya nak tanya dan jelaskan kenapa BSN baru-baru ini ada buat program mikrokredit hanya untuk satu kaum sahaja bukn pelbagai bangsa. Tolong jelaskan naib presiden (Rafizi).

“Kami rasa macam tak adil untuk bangsa yang lain pun perlukan modal untuk jana perniagaan” katanya.

Ciapan itu turut tag Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Skim berkenaan menawarkan pembiayaan sehinggan RM50,000 tanpa cagaran.

Sementara itu, BSN dalam kenyataannya memaklumkan, kedua-dua skim berkenaan telah dimandatkan kepada pihaknya oleh Kementerian Kewangan sebagai bank penyelaras.

“Kedua-dua skim ini merupakan dana pembiayaan yang telah diluluskan melalui Bajet 2018,” kata kenyataan yang sama.

BSN juga sebelum ini turut menawarkan skim pembiayaian mikro kewangan dan pembiayaan lain untuk pelbagai komuniti di Malaysia.- MalaysiaGazette