EPL
Pemain-pemain Liverpool meraikan kejayaan selepas Mane berjaya menyumbat gol keempat pasukan itu

LONDON – Liverpool berjaya menundukkan Crystal Palace dengan catatan mata 4 – 3 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield.

Dua daripada gol pasukan itu disumbangkan oleh penyerang Mohamed Salah.

Dengan kemenangan itu,  pasukan kendalian Jurgen Klopp mengambil peluang mengekalkan kedudukan di puncak liga dengan perbezaan tujuh mata berbanding Manchester City sebelum pasukan itu bakal bertemu dengan Huddersfield.

Walaupun ditentang hebat Palace dan ketinggalan pada minit ke-34, namun Liverpool bangkit pada separuh masa kedua dengan Salah menyamakan kedudukan dalam tempoh seminit diikuti penyerang Brazil, Roberto Firmino pada minit ke-53 bagi mendahului lawan.

Palace meningkatkan cabaran dengan James Tomkins menyamakan kedudukan di minit 65 namun, hantaran James Milner tidak dipersiakan Salah untuk mencari gol ketiga Liverpool sepuluh minit selepas itu.

Walaupun beraksi dengan sepuluh pemain selepas Milner dilayangkan ked merah pada minit ke-89, Liverpool terus mengukuhkan kedudukan dengan gol keempat hasil jaringan Sadio Mane pada masa tambahan sebelum Max Meyer merapat jurang di akhir perlawanan.

Liverpool kini mengumpul 60 mata daripada 23 perlawanan di mana mereka mengatasi pencapaian terbaik sebelumnya dengan 59 mata bagi jumlah perlawanan sama pada musim 1893-94 dan 1987-88. – MalaysiaGazette