Balakong
Temubual Malaysia Gazette bersama peniaga, Chang Yoke Seong mengenai janji Pakatan Harapan (PH) yang masih belum ditunaikan di Batu 9, Cheras, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 21 JANUARI 2019

BALAKONG – Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong di sini ada sebab untuk marah-marah.

Ini kerana, banyak janji yang dilafazkan oleh wakil rakyat baharu mereka ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan September lepas masih belum tertunai sehingga kini.

Malah, mereka turut mendakwa kelibat orang yang dipanggil “Yang Berhormat” itu juga jarang dilihat dan hanya muncul ketika berkempen untuk meraih undi pada PRK lalu.

Seorang peniaga peralatan kelekapan rumah, Chang Yoke Seong, 51, berkata, dia kesal dengan sikap ADUN baharu, Wong Siew Ki yang didakwa tidak mesra rakyat selepas diangkat menjadi yang berhormat.

Beliau mendakwa Siew Ki lebih gemar menyepikan diri daripada bertemu rakyat atau mendengar rintihan mereka.

Katanya, jika sikap demikian ditunjukkan oleh wakil rakyat itu, bagaimana masalah yang timbul dapat diselesaikan olehnya.

“Saya tidak pernah jumpa dia selepas pilihan raya kecil tempoh hari.

“Memang ada dia turun untuk menziarahi kalau ada kematian atau majlis keraian, tapi itu pun hanya sekejap sahaja.

“Tak sempat kami nak luah kepadanya apa masalah yang dihadapi,” katanya.

MGF21012019_INTERVIEW TAN CHEE TEONG_11
Chong Kian Huat

Seorang lagi peniaga, Chong Kian Huat, 71, berkata, isu paling utama dihadapi penduduk Balakong dan perlu diselesaikan segera ialah masalah kesesakan ekoran jalan yang sempit di pekan itu.

Katanya, Siew Ki pernah berjanji untuk melebarkan jalan berkenaan ketika berkempen namun, janji itu dilihat hanya tinggal janji.

“Dulu ada juga saya nampak jentera diletak di tepi jalan selepas diberitahu mengenai pelebaran jalan di sini ketika berkempen.

“Tapi saya hairan kenapa projek itu tak bermula dan jentera pula entah kemana,” ujarnya.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada PRK DUN Balakong lalu berjanji mahu melebarkan jalan di pekan Balakong bagi menyelesaikan masalah kesesakan trafik pada waktu biasa dan puncak yang telah menghantui penduduk sekitar Jalan Balakong, Kampung Baru Batu 11 Cheras.

Siew Ki yang merupakan calon PH ketika itu turut berjanji akan memastikan pelebaran jalan itu dilaksana dan sebuah syarikat pemaju swasta juga telah dilantik bagi menjalankan projek itu.

Kerajaan telah melantik Parkland Group untuk melaksanakan projek berkenaan dengan menggunakan peruntukan sebanyak RM8 juta. – MalaysiaGazette