Pasukan penyelamat berjaya mengangkat kereta SUV jenis Mazda CX-5 yang terhumban ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lagi kenderaan di KM 4 Jambatan Pulau Pinang pada 20 Januari lalu selepas tiga hari terlibat dalam operasi mencari. Gambar arkib

GEORGE TOWN – Usaha mengeluarkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX5 dari laut setelah terhumban ke dalamnya dari Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang Ahad lepas mengambil masa lebih 24 jam berikutan faktor keselamatan para penyelam operasi menyelamat itu.

Koordinator SAR Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata keadaan kereta yang teruk dengan serpihan tajam turut mengundang bahaya kepada kumpulan penyelam yang terlibat.

“Ramai (orang awam) mempertikaikan usaha menaikkan kereta terhumban itu mengambil masa lama iaitu lebih 24 jam. Sebenarnya kami perlu mengambil kira keselamatan penyelam.

“Selain itu faktor arus deras dan penglihatan yang terhad di dasar laut turut menjadi kekangan kepada pasukan penyelam untuk turun ke kereta mangsa bagi memasang kabel bagi membolehkan kren menarik kenderaan tersebut ke atas Jambatan Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya kejayaan operasi sejak hari Ahad, adalah hasil kerjasama lima agensi terdiri 169 orang pegawai dan anggota APMM, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Pertahanan Awam.

Rozali berkata pasukan operasi itu melakukan dua percubaan sebelum berjaya menaikkan kereta bersama mayat pemandunya ke atas Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 6.07 petang tadi.- BERNAMA

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/22/suv-terhumban-ke-laut-akhirnya-berjaya-ditarik-keluar/