Home Seni Hidup Fasha dan Aidil nikah Mac

Fasha dan Aidil nikah Mac

KUALA LUMPUR – Pasangan pelakon yang mengikat tali pertunangan pada November tahun lalu, Fasha Sandha dan Aidil Aziz bakal bernikah pada penghujung bulan Mac ini.

Berdasarkan rancangan awal, Fasha, 35, dan Aidil, 32, akan dinikahkan di masjid sebelum sambutan resepsi pernikahan meraka diadakan di kampung halaman masing-masing di Perlis dan Negeri Sembilan.

“Saya dan Aidil memang merancang nak nikah hujung Mac ini. Majlis diadakan di Perlis atas permintaan mak saya. Malah, untuk majlis nikah akan dibuat di masjid,” katanya.

Fasha berjanji tidak akan merahsiakan majlis hari bahagia yang akan diadakan kelak.

“Kami takkan berahsia. Insya Allah, saya akan berkongsi lanjut dan menjemput rakan media untuk hadir.

“Untuk majlis di sebelah lelaki pula, perancangannya pada April. Pada majlis itu, kami turut menjemput peminat hadir. Jumlah jemputan 5,000 orang,” kata Fasha seperti dilaporkan portal Harian Metro.

Sekalipun majlis perkahwinannya akan berlangsung dua bulan lagi, namun Fasha mengakui, dia belum membuat sebarang persiapan kerana jadual kerjanya sangat padat ekoran terikat dengan komitmen penggambaran.

“Macam sekarang saya masih sibuk berlakon dan penggambaran drama Patah Sayap Bertongkat Paruh dijangka tamat pada 18 Februari. Kemudian, saya ada projek lain yang menanti.

“Ada dua bulan lagi sebelum majlis. Sejujurnya, saya belum ada sebarang persiapan. Berbanding Aidil, dia sudah buat sedikit demi sedikit seperti beli kain untuk keluarganya,” kata Fasha lagi.

Sebelum ini, Fasha pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 sebelum bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Putra Rayfal berusia lima tahun dan Putri Raysha Jemyma, 4.-MalaysiaGazette