Zahida Zarik Khan
Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR – Dengan berbaki tiga hari lagi kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengingatkan jenteranya agar berhati-hati dan bertenang.

Menurut Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, jentera parti lawan bersedia melakukan apa sahaja termasuk menggunakan kekerasan sebagaimana berlaku ke atas calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Noor kelmarin.

Kata beliau, walaupun cuaca dan suasana sejuk di Cameron Highlands, namun jentera Pakatan Harapan (PH) yang terdesak boleh bertukar agresif secara tiba-tiba.

“Dalam suasana sejuk Cameron Highlands pun jentera PH boleh panas? Sampai tahan kenderaan dan cuba rampas telefon bimbit pembantu calon?” soal beliau dalam status akaun Facebook beliau hari ini.

Awal malam semalam, Ramli membuat laporan di Balai Polis Sungai Koyan berikutan tindakan seorang Timbalan Menteri bersama konco menahannya ketika dalam perjalanan pulang dari berkempen di perkampungan Orang Asli.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada tindakan pembantu Ramli merakamkan kejadian sebuah kenderaan milik jabatan kerajaan yang digunakan oleh PH untuk kempen calon DAP.

Menurut Zahida Zarik, dalam keadaan itu, beliau berharap semua jentera Puteri bertenang dan tidak mudah terperangkap dengan provokasi PH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast