Azis Jamman
Datuk Md Azis Jamman

SEPANG- Hampir 30 peratus daripada 22.6 juta pelancong yang tiba di Malaysia tahun lepas tidak meninggalkan negara ini.

Dengan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman meminta Jabatan Imigresen Malaysia melakukan pemeriksaan yang lebih serius kepada pelancong-pelancong yang tiba di negara ini.

“Proses pemeriksaan ke atas pelancong-pelancong yang tiba di negara ini adalah proses biasa yang turut dilakukan oleh negara-negara lain.

“Jabatan Imigresen perlu memeriksa tiket pulang mereka, tempat tinggal semasa berada di negara ini dan wang yang dibawa.

“Jadi, jika tidak memenuhi syarat-syarat tersebut kita terpaksa meletakkan status tidak boleh mendarat (No To Land/NTL) kepada mereka kerana kita mempunyai jumlah kemasukan pelancong asing yang tidak sama dengan jumlah yang keluar.

“Kita tidak mahu mereka menggunakan alasan lawatan sosial tetapi sebenarnya tinggal secara haram di Malaysia,” katanya semasa sidang media selepas melawat operasi Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Menurut statistik Jabatan Imigresen, Indonesia mencatatkan jumlah pelancong yang paling ramai tidak meninggalkan negara ini iaitu 14,3870 diikuti India (12,858) dan China (8119) pada 2018.

Menyentuh mengenai beberapa isu NTL yang disebarkan di media-media masa baru-baru ini, Azis berkata, Jabatan Imigresen melakukan proses pernilaian yang sepatutnya yang mana secara asasnya setiap pelancong perlu mengemukakan bukti tiket pulang, tempat tinggal di negara ini dan mempunyai jumlah wang yang mencukupi untuk tinggal di Malaysia.

Pada tahun lepas sahaja kira-kira 85,946 pelancong atau secara puratanya kira-kira 200 orang sehari tidak dibenarkan memasuki Malaysia atas pelbagai faktor yang telah dinyatakan termasuk keselamatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Tambak Johor akan diselesaikan tidak lama lagi.

Ini kerana kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk menaik taraf kemudahan CIQ termasuk pagar automatik dan pintu pagar automatik untuk motosikal, MBike. – MalaysiaGazette