Shaharuddin Khalid.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Seri Shaharuddin Khalid. foto AFFAN FAUZI, 15 FEBRUARI 2018

BAGAN SERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melancarkan operasi penguatkuasaan bersempena musim perayaan Tahun Baharu Cina selama dua minggu mulai 29 Januari hingga 12 Februari ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, seramai 2,000 pegawai dan anggota ditugaskan untuk memantau di sepanjang lebuh raya dan jalan persekutuan seluruh negara.

Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran trafik semasa musim perayaan itu, JPJ menetapkan larangan pemanduan kenderaan barangan pada 2 hingga 4 Februari dan 9 hingga 10 Februari.

Katanya, bagi tempoh dua minggu ini JPJ akan meletakkan secara statik kenderaan agensi itu di lorong kecemasan dan mana-mana kenderaan yang menggunakan lorong itu selain daripada sebab kecemasan akan disaman.

“Bagi tempoh ini juga kenderaan berat dilarang memasuki kawasan tertentu selama lima hari iaitu tiga hari sebelum dan dua hari selepas Tahun Baharu Cina,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Penguatkuasa Lebuh Raya JPJ di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol arah selatan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shaharuddin berharap pemandu dapat mematuhi segala peraturan jalan raya bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Matlamat utama kita nak pastikan jalan raya dan lebuh raya digunakan secara berhemah. Sasaran kita sebolehnya jangan berlaku kemalangan dan jangan ada pelanggaran undang-undang.

“Dengan kerjasama bersama PLUS, kita dapat memperkemaskan lagi tindakan dan mengharapkan pengguna lebuh raya dapat mematuhi jadual perjalanan yang ditetapkan supaya mengurangkan kesesakan di lebuh raya,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan menerusi [email protected]. – Bernama