Dr. Dzulkefly Ahmad
Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Masalah kesihatan mental sering dikaitkan dengan isu dadah yang dilihat sangat membimbangkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, menyedari hakikat itu kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah tersebut yang sememangnya tiada kesudahan.

Beliau berkata, perkhidmatan kesihatan primer boleh memainkan peranan utama dalam mengenal pasti kes-kes lebih awal dan merawat kes-kes ringan serta merujuk kepada pakar bagi kes- kes teruk atau rumit.

“Datuk Liew Vui Keong (Timbalan Menteri Kesihatan) telah mencadangkan undang–undang berkenaan rawatan penagihan agar perlu dikaji semula.

“Penagihan telah diklasifikasikan sebagai “Chronic Relapsing Brain Disease”, iaitu suatu penyakit medikal yang perlu dirawat
sebagai pesakit dan bukannya sebagai penjenayah yang tidak sepatutnya di tempatkan di penjara dan pusat serenti,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Persidangan Kesihatan Mental 2019 di sini malam ini.

Dzulkefly berkata, pihaknya menyambut baik saranan tersebut dan dengan adanya sebanyak 900 buah klinik methadone di seluruh negara Kementerian Kesihatan mempunyai kapasiti untuk menerima lebih banyak penagih bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, hal itu memerlukan lebih banyak program latihan yang berkesan dalam menangani isu dadah mengikut “Harm Reduction Approach”.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan turut berharap mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), universiti dan pihak swasta.

“Saya berharap ini akan merupakan satu era baru dan transformasi yang berkesan bagi negara kita dalam memberikan khidmat rawatan yang lebih membawa impak kepada masalah penagihan dadah di Malaysia.

“Secara peribadi menyedari kita perlu berbuat sesuatu bagi mengatasi masalah dadah yang tiada kesudahan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette