Salahuddin Ayub
Datuk Salahuddin Ayub. foto IQBAL BASRI, 17 DISEMBER 2018.

BANGKOK – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) berminat mempelajari teknologi pertanian di Thailand yang merupakan antara pemain utama industri pertanian dunia.

Menteri berkenaan, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Malaysia perlu mendekati negara jiran itu kerana mereka bukan sahaja begitu berjaya dalam meningkatkan produktiviti hasil pertanian dan industri asas tani, malah paling menarik perhatian Malaysia ialah bagaimana negara itu memasarkan produk pertanian dihasilkan mereka.

Beliau berkata, ini dapat dilihat menerusi kejayaan Organisasi Pemasaran Petani-Petani Thailand atau dikenali sebagai Or Tor Kor yang diiktiraf CNN Travel sebagai Pasar Segar ke-4 Terbaik Dunia pada 2017 selepas pasar La Boqueria, Barcelona; Tsukiji Fresh Market, Jepun; dan Union Square Farmer’s Market, New York.

“Kita perlu wujudkan Or To Kor ini di Malaysia, setakat ini saya telah memberi satu garis panduan pada Fama untuk mereka menubuhkan sebuah pasar raya besar sebagai batu loncatan awal untuk kita pasarkan produk makanan terbaik di Malaysia dalam masa terdekat atau sebelum hujung tahun ini.

“Or To Kor adalah sebuah pusat pemasaran bertaraf dunia, kita perlu bergerak pantas supaya kita dapat pastikan industri agro makanan dapat dipasarkan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Salahuddin merupakan seorang daripada menteri pengiring pada lawatan rasmi dua hari Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Thailand.

Dr Wan Azizah berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang tadi, namun sebelum itu, timbalan perdana menteri dan delegasinya sempat melawat Or Tor Kor di sini, pagi tadi.

Di pusat itu, delegasi berkenaan diberikan taklimat berhubung pengurusan Or Tor Kor serta mengadakan lawatan tapak untuk melihat aktiviti-aktiviti pengedaran, perniagaan dan sebagainya bagi produk-produk pertanian di Thailand.

Salahuddin berkata, langkah itu juga selaras dengan agenda baharu kementerian, ‘Hala Tuju Baharu MOA’ yang dijangka dilancarkan pada 14 Februari ini.

“Hala tuju baharu MOA berasaskan bagaimana kita akan memastikan kecukupan makanan negara kita dalam isu keselamatan makanan dan memastikan sektor agro makanan dapat tingkatkan pendapatan petani…kita tidak mahu petani berada di bawah B40.

“Kita perlu bergerak ke hadapan untuk memodenkan pertanian, antaranya (merangkumi) (konsep) dari makmal ke meja. Fama akan membina pasar raya besar, dengan menaik taraf pasar tani agensi itu menjelang akhir tahun ini di Kuala Lumpur,” katanya. – MalaysiaGazette