KUALA LUMPUR – Wujud perbincangan di peringkat Kementerian Industri Utama tentang cadangan bagi menetapkan pemilikan lesen kepada penjual rokok atau tembakau.
Namun sehingga kini masih belum ada keputusan yang dimuktamadkan.
Menterinya, Teresa Kok berkata, kerajaan akan hanya membuat pengumuman rasmi selepas keputusan dibuat.
“Sebenarnya kita masih dalam fasa perbincangan di peringkat dalaman (kementerian),” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah kementeriannya bercadang untuk mewujudkan penetapan lesen kepada penjual rokok dan tembakau, selari dengan usaha kerajaan menangani isu tabiat merokok dalam negara.
Persoalan ini diajukan sejajar dengan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mewartakan semua premis makanan sebagai tempat larangan merokok bermula 1 Januari tahun ini.
Mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Manakala di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, semua pemilik, pengusaha atau tuan punya premis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.-MalaysiaGazette
















