Gambar hiasan

KUALA LUMPUR Sebuah landasan terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang Bangkok (DMK) akan ditutup bermula dari  29 Januari 2019 (12:01 pagi waktu tempatan) sehingga 1 Februari 2019 (11.59 malam waktu tempatan) bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih oleh pihak lapangan tersebut.

AirAsia dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata, penutupan landasan tersebut akan menganggu operasinya yang mungkin menyebabkan kelewatan, penjadualan semula ataupun pembatalan penerbangan.

Dengan itu, syarikat penerbangan tambang murah itu menasihatkan para penumpangnya untuk sentiasa menyemak status penerbangan mereka di airasia.com/flightstatus.

“Kami memberi kerjasama penuh kepada pihak lapangan terbang dalam perkara ini dan akan mengemas kini para tetamu yang terjejas menerusi emel dan SMS untuk sebarang perubahan status penerbangan mereka.

“Para tetamu disarankan untuk mengemas kini emel dan nombor telefon (lengkap dengan kod prefix negara) dalam profil ahli AirAsia di airasia.com bagi memastikan kami dapat menghubungi dan membantu  mereka dalam tempoh yang secukupnya,” katanya.-MalaysiaGazette