KUALA LUMPUR – “Tidak perlu meletakkan papan tanda yang menunjukkan ini adalah projek Kerajaan Pakatan Harapan kerana ia memang projek kerajaan,” tegas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu papan tanda yang dinaikkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) di beberapa perkampungan di Cameron Highlands semalam.

Menurut Waytha Moorthy selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap agensi tersebut, beliau telah meminta satu laporan diserahkan kepadanya pada Isnin ini.

“Selepas meneliti laporan tersebut, baru saya boleh membuat keputusan untuk mengambil tindakan atau tidak,” katanya semasa sidang media mengenai pelancaran Pameran Sains Untuk Kanak-Kanak 2019.

Tambahnya, kerajaan sentiasa komited bagi memastikan tiada jentera kerajaan digunakan untuk tujuan politik.

“Kerajaan memang tidak akan guna jentera untuk pilihanraya.
“Semua projek kerajaan di seluruh negara akan diteruskan seperti biasa tetapi tidak perlu letak apa-apa tanda bahawa ianya projek milik kerajaan Pakatan Harapan kerana ianya memang projek kerajaan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette