Abdul Yazid Kassim
Abdul Yazid Kassim

KUALA LUMPUR – Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menerima Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu bermula 1 Februari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Pengarah Projek Malakoff Corporation Berhad yang juga Ketua Pejabat Pengurusan Projek di Zelan Berhad, Abdul Yazid Kassim dilantik untuk menyandang jawatan berkenaan.

“Beliau juga bekerja selama 10 tahun di luar negara sebagai Ketua Pembinaan di syarikat Qatar Petroleum.

“Beliau menerima ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan pembinaan daripada University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), United Kingdom dan ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan daripada University of Warwick, United Kingdom,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, antara tanggungjawab yang bakal dipikul oleh Abdul Yazid ialah mengurus projek laluan Mass Rapid Transit Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT2) supaya ia dapat dilaksanakan dengan kos dan dalam jangka masa yang ditetapkan.

“Pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu diyakini akan dapat mempertingkatkan prestasi dan
kecekapan MRT Corp.” ujarnya. – MalaysiaGazette