Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan menitikberatkan aspek keselamatan elektrik terutama pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

TNB dalam kenyataan hari ini berkata, pengguna disaran agar tidak membebankan soket dengan penggunaan adapter secara berlebihan bagi mengelakkan bebanan tinggi.

“Pengguna juga diminta tidak memasang atau menggantung apa juga bahan, termasuk bagi tujuan perayaan di kabel dan pepasangan elektrik TNB kerana terdapat risiko renjatan elektrik dan percikan arka.

“Bebanan tinggi, renjatan elektrik dan percikan arka boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang membawa kepada ketidakselesaan dan lebih buruk lagi merosakkan harta benda dan mengancam nyawa,” menurut kenyataan itu.

TNB turut menasihatkan pengguna supaya tidak memasang suis elektrik dengan tangan yang basah dan sentiasa memastikan peralatan elektrik sentiasa dalam keadaan baik.

Untuk sebarang aduan mengenai bekalan elektrik dan pemakluman berkaitan kejanggalan pepasangan TNB, pengguna boleh menghubungi TNB di Facebook TNB CareLine atau 15454. – Bernama