Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Kekuatan kerjasama UMNO dan Pas berpotensi untuk terus mengalahkan Pakatan Harapan (PH) dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) berikutnya dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali ketika menjelaskan perkara itu berkata, kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Noor dengan majoriti 3,238 undi membuktikan kerjasama antara parti pembangkang adalah atas agenda kesatuan Melayu dan Islam.

Kata beliau, peningkatan majoriti sebanyak 442.4 peratus berbanding hanya 597 majoriti pada PRU14 Mei lalu menunjukkan kekuatan sebenar Pas, UMNO menyaingi PH yang didominasi serta diperalatkan oleh golongan berfahaman liberalisme dan pluralisme.

“Kekalahan calon DAP (M Manogaran) menunjukan PH secara berterusan dan besar-besaran sedang ditolak oleh rakyat.

“Rakyat sudah mula sedar dan menyesal dengan PH yang mungkir janji dan selalu menyalahkan pihak lain atas kegagalan menunaikan manifesto sehingga banyak masalah rakyat tidak diselesaikan.

“Ekonomi negara semakin teruk dapat dilihat menerusi kejatuhan nilai ringgit, pelaburan tidak rancak, pembatalan dan penangguhan projek pembangunan yang penting untuk rakyat serta kadar penggangguran yang bertambah besar,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Dr. Mohd Khairuddin, pemimpin PH bersikap sombong dan mendabik dada dengan kuasa yang ada ketika berkempen dan mengambil ringan melakukan kesalahan pilihan raya membuatkan rakyat semakin bertambah benci.

“Sikap pemimpin seperti Lim Guan Eng dan ayahnya, Lim Kit Siang yang mengamalkan politik ugut pula menunjukkan PH belum sedar tanggungjawab sebagai kerajaan sekalipun sudah hampir setahun menjadi kerajaan.

“Amat tidak wajar sekali pemimpin parti kerajaan menjadikan hak dan kebajikan rakyat sebagai taruhan demi memenangi pilihan raya,” ujarnya.

Beliau berkata, hanya menerusi amalan politik dan tadbir urus beraspirasikan Islam sahaja keadilan untuk semua kaum dan agama dapat ditegakkan serta kedaulatan negara dipertahankan selari tuntutan Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette