KUALA LUMPUR – Pelan Pendidikan Bukan Formal perlu diperkenalkan sebagai alternatif bagi menangani isu keciciran pembelajaran, khususnya dalam kalangan pelajar B40.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin berkata, membantu anak-anak yang tercicir ini perlu menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan negara ini.
Tegasnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil tanggungjawab ini dengan lebih serius beserta sokongan dan bantuan semua pihak yang berkenaan.
Mengulas mengenai laporan terkini oleh Bank Dunia Malaysia bertajuk “Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills” yang memaparkan data-data berkaitan pendidikan tahap awal di Malaysia, beliau berkata, dapatan Bank Dunia Malaysia itu mengesahkan laporan ringkasan dasar “Pelan Pendidikan untuk Menangani Keciciran Murid di Sekolah Rendah dan Menengah Malaysia” yang telah dilaksanakan secara kolaboratif antara MASA dengan pasukan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Bity Salwana Alias, pada tahun 2022.
Kajian MASA-UKM tersebut mendapati di 19 buah sekolah yang dikaji, antara 10 hingga 20 peratus murid sering kali cicir daripada persekolahan (tidak hadir ke sekolah) dan majoriti murid tersebut tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Walaupun dasar pendidikan wajib sekolah rendah telah dilaksanakan sejak 2003, serta pelbagai usaha telah dibuat untuk menarik minat murid ke sekolah, malangnya fenomena keciciran persekolahan dan pembelajaran masih gagal ditangani sepenuhnya.
Kajian turut menunjukkan wujudnya keperluan memperkukuh kolaborasi antara KPM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), komuniti dan lain-lain pihak yang berkaitan dalam menangani isu yang semakin membimbangkan ini.
Azril menambah, kajian MASA-UKM juga mendapati dasar pendidikan wajib masih kurang dihayati atau mungkin tidak disedari oleh ibu bapa kerana didapati faktor utama murid-murid tidak hadir ke sekolah adalah sikap ibu bapa yang kurang prihatin terhadap pendidikan anak-anak sama ada di sekolah rendah atau menengah.
“Kemiskinan dan desakan hidup menyebabkan ibu bapa sanggup membelakangkan kehadiran anak ke sekolah kerana masalah kewangan dan pengangkutan, membiarkan anak-anak bekerja untuk mencari pendapatan malah menjadikan anak-anak sebagai baby sitter apabila mereka keluar
bekerja.
“Kajian turut mendapati selain faktor ibu bapa, sikap murid, sikap guru, amalan pentadbir dan sikap komuniti, kurikulum yang tidak sesuai dengan keperluan dan tahap murid turut menjadi faktor murid tidak berminat terhadap persekolahan atau pendidikan.
“Selain itu, kajian MASA-UKM turut memetik laporan Lembaga Peperiksaan berkaitan keciciran murid dalam peperiksaan, termasuk pada tahun 2021, yang menunjukkan seramai 10,681 murid cicir daripada menduduki peperiksaan SPM, turut menyatakan ramai murid tercicir daripada menguasai 3M, adalah selari dengan dapatan kajian MASA-UKM,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Azril berkata, MASA memandang serius akan dapatan laporan Bank Dunia Malaysia itu dan menggesa pihak kerajaan untuk mengambil tindakan segera, dan tidak hanya bersikap pasif terhadap isu ini.
Dalam hal ini, MASA mencadangkan agar penelitian tuntas dan telus terhadap sistem pendidikan dilakukan segera khususnya dengan mewujudkan kurikulum yang berfokus kepada kemahiran bagi menepati keperluan, latar belakang, tahap atau minat murid lemah akademik.
Selain itu mengaktifkan jawatankuasa khas di peringkat sekolah dengan dianggotai oleh semua pihak yang berkaitan (KPM, KPWKM, JPN, PPD, sekolah, komuniti, ketua kampung/taman, NGO dan lain-lain yang berkaitan); memastikan jawatankuasa yang dibentuk bekerjasama dalam menangani fenomena keciciran (ponteng sekolah), meningkatkan penguasaan 3M dan memberikan kemahiran yang diperlukan murid.
Segera melakukan pendefinisian dan perkasakan Akta Pendidikan Wajib merangkumi pendidikan peringkat menengah; dan usaha bagi membantu murid B40 – bagi memenuhi keperluan keperluan asas, keselamatan, kasih sayang, penghargaan dan sempurna kendiri mereka perlu diberi perhatian, tambahnya.
Baru-baru ini Bank Dunia Malaysia berkata, laporan yang dilakukan mendapati, walaupun perbelanjaan yang besar diperuntukkan kepada sektor pendidikan, iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), namun, tahap pembelajaran dalam kalangan pelajar masih jauh ketinggalan.
Hanya 58 peratus pelajar di Malaysia mampu menguasai kemahiran membaca menjelang akhir Tahun 5 – jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain di rantau ini, termasuklah dengan Vietnam.
Laporan Bank Dunia Malaysia turut mendedahkan ketidakcekapan dan tahap kualiti pendidikan di negara ini, yang antaranya menyebut murid di Malaysia walaupun telah menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah, tetapi tahap pembelajaran mereka hanya bersamaan dengan 8.9 tahun sahaja.
Laporan tersebut mengenal pasti beberapa punca yang menyumbang kepada situasi ini, antaranya, akses yang terhad untuk pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, tempat yang terhad, tahap kesediaan dan kepakaran guru yang terhad, dan kurangnya amalan
pemantauan terhadap prestasi murid.
Kesemua cabaran ini perlu ditangani dengan segera sekiranya Malaysia berhasrat menjadi negara maju menjelang tahun 2030. – MalaysiaGazette