HULU SELANGOR – Ketidakhadiran Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam Ceramah Umum di Kuala Kubu Bharu malam tadi bukan bermakna pemimpin Pas itu mahu memboikot kempen Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Bharu.
Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ramai lagi pimpinan Pas yang akan turut serta berkempen untuk memenangkan calon PN, Khairul Azhari Saut sehingga tengah malam, 10 Mei ini.
“Malam esok ada Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) dan dua hari kemudiannya ada Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Memang kita ada perancangan (melibatkan pemimpin Pas) sehingga 10 Mei akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Umum di Kuala Kubu Bharu, malam tadi.
Hadir sama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun.
Turut hadir bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Selain itu, ketidakhadiran pemimpin Pas mengiringi calon PN pada Hari Penamaan calon pada 27 April lalu sebenarnya bukan kerana tindakan boikot.
“Hakikatnya pada hari penamaan calon adalah Majlis Rumah Terbuka Pas Nasional di Perlis dan ia sudah dirancang sejak sebulan lalu, kebetulan berlaku pada 27 April, takkan dia nak batalkan.
“Tetapi dengan segeranya selepas rumah terbuka, kebanyakan pemimpin Pas kembali ke bandar dan sekarang sedang membantu kita.
“Komitmen kita, kita masuk dalam pilihan raya sebagai PN, jentera kita adalah PN, dan kita nak menang sebagai PN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette