Tan Sri Lee Lam Thye
Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR – Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye, menggesa penubuhan satu institusi dibiayai kerajaan sebagai pemudah cara kepada proses pembandaran dalam negara yang berlangsung dengan cukup pesat ketika ini.

Katanya, institusi itu dapat memenuhi tuntutan keperluan pengurusan bandar yang lebih baik, di samping keperluan latihan serta urus tadbir bandar dan kota, yang menjadi antara cabaran utama di samping salah satu tanggungjawab yang cukup kompleks dalam hakikat masyarakat hari ini.

“Cabaran utama dalam abad ke-21 adalah pembandaran, dengan proses pembandaran yang pesat ketika ini, kecenderungannya mengarah kepada pembangunan bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, baru-baru ini Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, berkata terdapat kira-kira 150 pihak berkuasa tempatan dalam negara.

Namun, beliau dipetik berkata, tiada siapa yang tahu sejauh mana kukuhnya institut latihan pusat disediakan buatnya, khusus bagi memenuhi keperluan sumber tenaga kerja untuk keperluan fungsi yang pelbagai dan pengurusan pembandaran.

Kata Lam Thye, kota yang kita kenali hari ini sudah berubah dengan pantas, persekitaran hidup mengubah cara hidup dan era pembandaran menampilkan peluang unik untuk membentuk semula bandar, dengan mengambil kira bagaimana kita rancang serta melihat reka bentuk persekitaran.

“Kemunculan punca masalah kota yang kompleks menampilkan cabaran baru bagi pentadbir kota untuk mencari cara baru bagi menjadikan kawasan kota sebagai tempat yang lebih baik untuk didiami.

“Isu kota seperti proses globalisasi, masalah alam sekitar, kemiskinan bandar, kemampanan bandar, urus tadbir dan bagaimana membaiki kualiti kehidupan kota adalah antara banyak isu yang perlu ditangani dengan berkesan.

“Dengan isu berkenaan yang muncul dari proses pembandaran, kini tiba masanya untuk kerajaan menubuhkan sebuah Institut bagi Urus Tadbir Kota, yang boleh berfungsi sebagai sumber nasional dan pusat latihan pembangunan serta urus tadbir kota,” tambahnya.

Menurutnya, institusi ini juga akan membantu dalam penyelidikan, menyediakan sokongan buat ahli akademik dan individu untuk menjalankan penyelidikan di samping menyediakan khidmat pakar perunding berhubung isu pengurusan. – BERNAMA