KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu segala kerenah birokrasi yang menyebabkan kelewatan di dalam proses permohonan sama ada peringkat kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan tidak berlaku.
Baginda bertitah, dengan cara ini ia bukan sahaja menjadikan Pahang sebagai negeri mesra pelabur malah mampu mempertingkatkan tahap kompetensi dan kecekapan semua jabatan dan agensi kerajaan terlibat.
“Beta amat berbangga dengan pencapaian kerajaan beta sepanjang tahun 2023 di mana negeri ini menerima banyak cadangan pelaburan dari dalam dan luar negara meliputi negara China, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Australia, New Zealand dan lain-lain.
“Sehingga Disember 2023, kerajaan beta telah berjaya memuktamadkan beberapa pelaburan komited dengan nilai pelaburan sebanyak RM11.66 bilion, merupakan 70.9 peratus daripada nilai keseluruhan pelaburan komited (RM16.44 bilion) yang dibawa masuk oleh kerajaan beta,” titah baginda.
Sehubungan itu, baginda berharap agar cadangan-cadangan tersebut dapat dipertimbangkan dan dimuktamadkan sebaiknya bagi menggalakkan perkembangan ekonomi dan sosial negeri ini.
Titah baginda, peningkatan pelaburan asing pemangkin peranan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik (DDI) adalah antara pemangkin utama ekonomi negeri.
Titah baginda, ini bagi memastikan prestasi kutipan hasil tahun ini bukan sahaja dapat dikekalkan malah dipertingkatkan lagi sebagaimana yang telah disasarkan.
Baginda juga berbangga dengan usaha kerajaan negeri memastikan kebajikan rakyat seperti mana tahun sebelumnya, Bantuan Prihatin Pahang (BPP) diteruskan dengan 20 jenis bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM38.08 juta
“Dalam hal ini, beta percaya pentadbiran kerajaan beta amat menitik beratkan perihal tadbir urus yang baik, akauntabiliti dan integriti setiap anggota pentadbiran kerajaan beta untuk merealisasikan harapan negeri beta sebagai sebuah negeri beretika dan berintegriti tinggi,” titah Al-Sultan Abdullah.
Al- Sultan Abdullah bertitah demikian bersempena Istiadat Pembukaan Dewan dan Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15, di Wisma Sri Pahang hari ini.- MalaysiaGazette