Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. foto SYAFIQ AMBAK, 28 JANUARI 2019
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. foto SYAFIQ AMBAK, 28 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak kisah dikecam hebat oleh netizen berhubung kesilapan fakta yang beliau sampaikan di laman Twitter sebelum ditemubual dalam program BBC Hardtalk baru-baru ini.

Menurut beliau, apapun fakta yang cuba disampaikan dalam Twitter beliau sebelum ini hanya lebih kepada mempromosikan negara di mata antarabangsa.

“Tiada ada masalah kepada perkara itu. Saya fokus paling utama adalah untuk memasarkan Malaysia di pentas dunia menerusi BBC Hardtalk,” katanya kepada media dalam majlis pelancaran Festival Belia Bando Muo di pejabatnya hari ini.

Syed Saddiq sebelum ini hebat dihentam oleh warganet berhubung fakta bahawa beliau adalah rakyat Malaysia kedua yang pernah diwawancara oleh program berkenaan.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Muar itu memuatnaik status di Twitter mendakwa perkara itu dan dikecam netizen.

“BBC Hardtalk, bismillah. Doakan kejayaan saya!

“Ia benar-benar menghormati Malaysia kedua, selepas Tun Dr Mahathir berada di BBC Hardtalk.

“Saya ingin dunia tahu Malaysia, sekali lagi harimau Asia,” katanya di Twitter.

Posting Itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Syed Hamid Albar yang memperbetulkan fakta Syed Saddiq itu di ruangan komen.

“Biar saya betulkan fakta (Syed Saddiq). Saya pernah muncul dalam Hard Talk dengan Tim Sebastian dalam tahun 2000, sudah tentu sebelum Malaysia Baru,” komen beliau.

Akur dengan komen itu, Syed Saddiq kemudiannya membetulkan status itu sebanyak dua kali dengan berkata: “Salah seorang daripada beberapa individu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: BBC Hardtalk: Betul ke fakta Syed Saddiq?