Calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, M Manogaran memohon maaf kepada semua pihak berhubung pemakaian baju berlogo parti ketika masuk ke pekarangan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sinderut pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah membuat laporan polis terhadap Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen P.078 Cameron Highlands, M. Manogaran.

Ini berikutan calon tersebut telah memasuki Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut pada hari pengundian dengan memakai baju yang mempunyai logo parti.

Tindakan itu merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.

Laporan polis tersebut telah dibuat oleh petugas SPR di Balai Polis Sungai Koyan, kata SPR dalam kenyataan di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Manogaran minta maaf kerana tidak perasan pakai baju logo parti

ARTIKEL BERKAITAN: Manogaran berdepan tindakan SPR

Selain itu, SPR juga hari ini telah mengambil tindakan yang serupa terhadap pelanggaran AKPR 1954 berkaitan penubuhan barung-barung oleh parti pada hari mengundi.

Sebanyak tiga laporan polis melibatkan sembilan Pusat Mengundi dalam DUN Tanah Rata dan satu laporan polis melibatkan satu Pusat Mengundi dalam DUN Jelai telah dibuat oleh Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya.

Sehubungan dengan itu, SPR menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“SPR menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.

“Sehubungan dengan itu, SPR mengingatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi setiap undang-undang dan peraturan pilihan raya yang ditetapkan bagi memastikan proses pilihan raya yang telus dan adil dapat dilaksanakan,” kata SPR. – MalaysiaGazette