Armand Azha
Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus diberi peringatan supaya lebih berhati-hati dan tidak teruja serta taksub menjadi ahli politik sehigga tidak mengenal tempat yang akhirnya menjadi bahan kritikan umum.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, Hasanuddin seolah-olah lupa diri sehingga boleh bercakap politik di hadapan pelajar-pelajar yang masih bersekolah.

Kata Armand, Naib Presiden Amanah itu lebih gemar berpolitik tanpa mengenal tempat sehingga berceramah politik dan bukannya memberikan kata-kata semangat serta motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah seperti yang diharapkan.

“Janganlah rosakkan minda anak muda terutamanya pelajar sekolah hanya kerana anda teruja menjadi ahli politik. Sebenarnya ucapan anda di hadapan pelajar-pelajar ini yang berbaur politik serta kebencian itu sebenarnya tidak matang dan kurang bijak.

“Sebagai pemimpin apabila memberikan ucapan khasnya di hadapan pelajar, seharusnya memberikan kata-kata semangat serta motivasi bagi menaikkan semangat serta jati diri seseorang pelajar itu sendiri agar lebih berjaya pada masa hadapan.

“Bukan bercakap politik yang boleh rosakkan minda pelajar itu, sekaligus cetus keadaan tidak harmoni serta tegang antara pelajar-pelajar sendiri, ingat sikit. Janganlah terlampau taksub.

“Saya ingin nasihatkan beliau supaya lebih berhati-hati dan sedar diri sehingga gagal menilai antara program sekolah dan program politik pada masa hadapan. Hakikatnya, ini sangat memalukan institusi Parlimen dalam negara,” katanya.

Armand mengulas tindakan Hasanuddin yang tular dalam media sosial yang didakwa mengungkapkan ucapan berunsur politik di hadapan murid sekolah rendah di Beranang, Selangor Sabtu lepas.

Menerusi rakaman video berdurasi 24 saat itu, Hasanuddin antara lain berucap menjelaskan bagaimana kerajaan terpaksa mencatu beberapa rancangan untuk rakyat kerana skandal 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Ucapan Hasanuddin di hadapan pelajar sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasik Kesuma, Beranang dalam program Kursus Kepimpinan dan Sahsiah, Badan Beruniform serta Pengawas sekolah itu.

Tindakan pemimpin itu membawa padah apabila ia dikongsi ribuan netizen yang ternyata marah dengan sikap yang ditonjolkan oleh Hasanuddin yang jelas tidak tahu membezakan antara politik dan pendidikan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast