Konkrit tergantung menghempap pekerja projek binaan di kawasan poerindustrian baru Balakong menyebabkan seorang maut dalam kejadian petang semalam. Foto: MUHAMMAD ZULHAIRI HUSAINI MD ZUBER

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja maut manakala seorang lagi tercedera parah di bahagian kaki selepas dihempap konkrit di projek pembinaan di Balakong, Selangor semalam.

Kejadian berlaku pada jam 4.30 petang semalam ketika lima pekerja sedang membuka kotak acuan bagi struktur konkrit tergantung.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan hari ini berkata, kejadian maut runtuhan konkrit itu berlaku kawasan perindustrian Kampung Baru Balakong.

“Struktur konkrit tergantung berkenaan roboh dan menghempap dua pekerja mengakibatkan salah seorangnya maut di lokasi kejadian.

“Rentetan kejadian itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor telah mengarahkan pemberhentian kerja serta merta ke atas aktiviti pembinaan dan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian berlaku.

“Hasil siasatan awal mendapati bahan konkrit yang digunakan disyaki tidak menepati standard kualiti yang ditetapkan,” kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, JKKP Selangor bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan menjalankan siasatan lanjut.

Kata kenyataan itu, JKKP memandang serius setiap insiden dan kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Adalah menjadi tanggungjawab majikan dan juga pekerja untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mereka.

“Semua penggiat industri pembinaan digesa agar mempertingkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan,” tegas kementerian.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kontrek mahu kerja cepat siap. simen belum. matang sudah dibuka memang runtuh lah dia. . patutnya dah lama buat kerja dah banyak pengalaman.

Comments are closed.