Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. foto SYAFIQ AMBAK, 04 DISEMBER 2018
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. foto SYAFIQ AMBAK, 04 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Pihak polis masih lagi menunggu laporan sampel air kencing anak lelaki Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu selepas disyaki positif ganja di sebuah pusat hiburan ekslusif di Jalan Ampang baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya masih lagi menunggu laporan dari Jabatan Kimia berhubung perkara tersebut.

Kata beliau, tempoh bagi kertas laporan itu siap tidak dapat dipastikan, sebaliknya tanggungjawab itu sepenuhnya kepada Jabatan Kimia.

“Kita masih lagi tunggu laporan daripada Jabatan Kimia sebelum buat apa-apa pengumuman.

“Bilakah tempoh untuk laporan itu siap, kena tanya dengan Jabatan Kimia,” katanya kepada pemberita hari ini.

Keputusan laporan itu diperlukan bagi melengkap­kan kertas siasatan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, ditahan bersama rakannya selepas ujian air kencing positif ganja dalam pemeriksaan di sebuah premis hiburan di Jalan Ampang di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam 6 Januari lepas.

Dia merupakan seorang daripada 101 individu termasuk 55 wanita yang diperiksa dalam Op Hiburan oleh sepasukan pe­gawai dan anggota dari Ibu pe­jabat Polis Daerah Dang Wangi.

Ahmad Saiful dipercayai sedang berhibur ketika insiden itu dengan beberapa induvidu lain dipercayai rakan-rakannya.

Hasil pemeriksaan ke atas kesemua pengunjung, hanya dia dan rakannya yang disyaki positif dadah.

Selepas ditahan selama beberapa jam, Ahmad Saiful dan rakannya telah dibebaskan sehingga pembebasan tersebut mendapat kecaman segelintir netizen.

Rata-ratannya meluahkan rasa tidak puas hati serta mempersoalkan mengapa kedua-dua individu itu tidak direman.

Mohamad Sabu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung pe­nahanan anak lelaki­nya itu dan mahu kes diselesaikan mengikut pro­ses undang-undang.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad pernah mendakwa mungkin ada unsur ‘sabotaj’ dalam isu Ahmad Saiful ini.

Khalid sambil melahirkan rasa hairan bagaimana daripada kesemua 101 individu yang diperiksa hanya anak lelaki Presiden Parti Amanah Nasional (Amanah) itu dan sahabatnya sahaja dicekup kerana positif ganja.

“Ramai yang ada pada malam itu, kenapa hanya anak menteri yang kena? Saya pun pelik sebenarnya kenapa hanya dua orang sahaja yang positif dadah berbanding yang lain tapi saya tidak mahu beri komen banyak-banyak. Saya tidak mahu cakaplah,” katanya yang juga Pengarah Strategik Amanah. – MalaysiaGazette