Keadaan kawasan sekitar selepas empangan pecah minggu lalu. foto Agensi

BRASILIA – Ahli politik kanan Brazil telah meminta Vale SA untuk bertanggungjawab sepenuhnya dalam tragedi empangan pecah berhampiran lombong bijih besi minggu lalu, susulan kemarahan rakyat dengan syarikat berkenaan.

Naib Presiden Brazil, Hamilton Mourao berkata, mereka yang bersalah harus dihukum.

Seorang pendakwa raya pula berkata, setiap orang eksekutif syarikat itu perlu memikul tanggungjawab berkenaan.

Datuk Bandar Belo Horizonte, Alexandre Kalil berkata, Lembaga Pengarah Vale patut dipenjarakan.

Pendakwa Raya telah pun membekukan aset Vale berjumlah 11 bilion reais (AS$2.9 bilion).

b4

Gambar menunjukkan kawasan empangan dan lombong bijih besi milik Vale sebelum kejadian empangan pecah. foto AgensiBagaimanapun Vale yang merupakan pemilik kompleks itu mempertahankan telah mematuhi prosedur keselamatan.

Bomba memaklumkan setakat ini 60 orang telah disahkan maut selepas lautan lumpur menenggelamkan kantin dan kediaman berhampiran.

Sebanyak 192 orang telah diselamatkan berhampiran bandar Brumadinho tetapi hampir 300 masih hilang.

Penyelamat mengatakan semakin sukar untuk menemui mangsa yang selamat.

Di sesetengah kawasan, ketinggian lumpur sehingga 15 meter hingga menyukarkan pasukan penyelamat untuk mengesan mangsa-mangsa.

Operasi mencari mangsa turut menggunakan helikopter, selain jentera-jentera mengangkut tanah.

Setakat hari ini, punca empangan pecah masih belum diketahui.

Operasi mencari telah digantung beberapa jam pada hari Ahad lalu berikutan kebimbangan sebuah lagi empangan milik Vale berisiko runtuh. – MalaysiaGazette