KUALA LUMPUR – Polis masih menyiasat laporan dakwaan penjualan maklumat pelajar dan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) di ‘Dark Web’ pada November tahun lalu.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, pihaknya juga  bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Pasukan Respons Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) sejak November lalu.

Kerjasama itu, katanya, bagi membolehkan siasatan serta analisis mengenai keutuhan sistem aplikasi UiTM dijalankan sepenuhnya.

“Setakat hari ini penemuan awal NACSA mendapati tiada sebarang aktiviti mencurigakan menjurus kepada kebocoran maklumat berlaku, namun pihak NACSA masih lagi meneruskan siasatan berdasarkan maklumat terkini yang telah dibekalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hassan turut berkata pihaknya komited dan sentiasa telus dalam membekalkan sebarang maklumat diperlukan oleh semua pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah dan sedang membantu UiTM dalam menangani isu keselamatan ini. Saya juga berharap orang ramai dapat memberi ruang kepada pihak berkaitan menjalankan siasatan dengan adil, telus dan berkesan,” katanya.

UiTM juga katanya sedang giat menjalankan pelbagai penambahbaikan dan pemantapan prosedur serta operasi bagi memastikan integriti rangkaian, program dan data dilindungi daripada serangan, kerosakan atau akses tanpa izin. -MalaysiaGazette